Semenjak keluar dari ward, bagaikan ada sesuatu yang mengganggu jiwa Adam. Semua yang Adam suka lakukan sebelum ini menjadi kesalahan dan dia akan menangis, menjerit, mengamuk dan kadang-kala memukul ibu dan ayah dengan apa sahaja benda, biasanya baju. Antara perkara2 pelik yang Adam lakukan
- Menangis dan menutup mulut sebab tak nak giginya digosokkan, apatah lagi menggosok gigi sendiri
- Tidak mahu membuka baju untuk mandi, walaupun telah dijirus baju tersebut dengan air, Adam tetap berkata “Tak Nak”.
- Beberapa kali berkurung di dalam toilet kerana tidak mahu mandi.
- Lari ke penjuru bilik bila di suruh memakai baju sendiri dan akan menangis dan mengelak dari dipakaikan baju.
Pernah satu malam kami pergi ke rumah tok saudara Adam. Bila nak balik dan suruh Adam salam atok, Adam bukannya salam sebaliknya memusing-musung kedua-dua tangannya dan menyanyi lagu ‘Poli-Poli’. Lepas tuh Adam berlari ke sudut rumah atuk berkenaan. Bila dia ajak balik, Adam tak nak dan meminta untuk tidur di rumah Atok berkenaan. Sesuatu yang tidak pernah dibuatnya sebelum ini.
Kemuncak kepada segala-galanya adalah pada hari Selasa malam rabu tuh, bila Adam berkata “Ibu Adam takut, tuh mata dia merah tengok Adam” sambil menunjuk ke atas rak buku. Tak tahulah samada itu cuma imaginasi Adam atau memang Adam melihat sesuatu yang ibu dan ayah tidak melihatnya waktu itu. Ibu memujuk dan mengajak Adam tidur .
Adam tidur dengan nyenyaknya hinggalah pukul 1.00 pagi bila Adam mula minta susu. Lepas tuh Adam mengadu telinganya pedih. Mulanya ingatkankan luka atau semut tetapi tidak ada apa yang kelihatan. Sepanjang malam Adam merengek, dan menangis, hendak tengok TV, hendak tidur dibahu ayah dan sebagainya. Kira-kira pukul 4 pagi barulah Adam dan ayah terlena dibilik TV bilamana ibu mendengar anjing menjerit dengan kuatnya. Ini diikuti dengan tangisan terkejut Adam.
Akibat letih dan mengantuk, ditambah dengan badan Adam yang mula agak panas, ibu dan ayah mengambil cuti kecemasan hari rabu itu. Hasil perbincangan kami akan membawa Adam berjumpa Dr Azizi di Damansara Specialist Hospital. Kami di maklumkan bahawa Klinik Doktor Azizi cuma buka waktu pagi sahaja, jadi terpaksalah bergegas untuk pergi ke sana.
Sekali lagi Adam menguji Ibu dan ayah,bila mana Adam tidak mahu membuka pampers yang dipakai untuk dimandikan dan digosok gigi. Ok tak payah mandi, pakai baju pun Adam tak nak. Jenuh juga di paksa untuk dipakaikan baju.
Bila sampai dihospital, Adam seronok dimaklumkan akan berjumpa Doktor Azizi yang dirindui, hinggakan tidak lalu untuk makan atau minum sementara menanti giliran. Doktor mengesahkan dalam telinga kanan Adam merah dan bengkak, mungkin berpunca dari jangkitan kuman. Mendengarkan batuk Adam yang agak keras dan berkahak, doktor akan memberikan antibiotik dan juga ubat batuk yang biasa.
Petang tuh lepas mandi sekali lagi Adam buat perangai. Baju yang dipegang tak nak dipakai, kejab dibuka, kejab dilipat . Begitulah berulang kali hingga hampir setengah jam. Ibu dan ayah terlalu sedih melihat keadaan Adam yang begitu, seolah-olah itu bukannya Adam yang biasa.
Ibu terus memasang Al-Quran dari handphone sepanjang malam sebagai halwa telinga Adam. Alhamdulillah Adam mula tidur dengan lenanya.
Balik dari sekolah hari khamis, perkara pertama yang Adam minta Adalah nak bermain congkak. Lepas tuh Adam kata nak makan Nestum. Lepas habis makan nestum Adam bermain kereta remote contral yang Uda hadiahkan pula. Selepas itu Adam memakai Lenyat berwarna hijau dan meletakkan hujungnya ke dada ibu sambil berkata
“Ibu, Adam nak jadi doktor”
“Oooo..Mcm Doktor Azizi yang Adam jumpa semalam ker?”
“Tak lah.. nak jadi Doktor Adam lah”.
Nampaknya Adam benar-benar telah sihat dan sembuh dari segala jenis penyakit yang dihidapinya. Seolah-olah ada sesuatu yang menumpang pada badan Adam semasa balik dari hospital harituh, dan perginya ke klinik dr Azizi hari rabu yang lepas menghantar semua ‘makhluk ‘ berkenaan ke sana. Yang penting Adam yang sihat, ceria dan keletah telah muncul semula. Syukur Alhamdulillah.
Adam tidur selepas bersolat maghrib dengan ibu. Oleh kerana tidur awal pukul 5.30 Adam dah bangun dan meminta air Ribena. Lepas mandi Adam memakai baju melayu beserta samping berwarna hijau, manakala ibu pula memakai jubah dan seluar berwarna ungu.
“Ibu Adam tak der baju warna purple ungu. Adam nak baju melayu warna purple ungu”.
Hmm rasanya dah tahu dah tema baju raya kami tahun nih..:)